Utusan Malaysia, KL, 7 Sept:
““Sementara itu, pendapatan per kapita dijangka meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM23,864 dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan AS$14,206,” katanya.”
Itu pada 7 September, 3 minggu yang lepas dalam suratkhabar yang sama laporannya mengatakan pendapatan per kapita rakyat Malaysia adalah RM19,980 kalau tak silap aku la. Perghhhh…makin meningkat rupanya pendapatan rakyat Malaysia ni. Adakah purata pendapatan ini mengambil kira gaji Lim Kok Thay(tauke Genting sekarang) atau gaji Ananda Krishnan atau Robert Kuok atau Syed Mokhtar dan dicampur dengan gaji buruh, pemandu bas, pekerja kilang dan rakyat marhaen lain? Mengikut sumber yang dipercayai gaji tauke genting tersebut adalah RM120,000 sehari atau seminggu(pakcik pun dah lupo). Melalui kajian juga, dinyatakan dalam suatu suratkhabar gaji tetap pemandu bas Malaysia RM250 sebulan dan selebihnya adalah berdasarkan elaun jumlah perjalanan.
Patut la harga petrol, tol dan barangan lain naik. Katanya kuasa beli rakyat Malaysia meningkat. GLC petrol negara pula telah melaporkan keuntungannya pada suku tahun. Memang berjaya GLC ni dari segi pengurusan. Diharap ia akan lebih berjaya pada masa akan datang.
Baru lepas, perasmian pembangunan pantai timur yang menelan belanja RM112 bilion. Banyak duit kerajaan kita ni. Dengan pembangunan WPI, utara dan pantai timur, semuanya mau berjumlah beratus bilion. Cita-cita tinggi menjulang menyokog hasrat ibu pertiwi…(lagu TIKL). Dulu menteri-menteri Melayu kerajaan selalu marah pasal orang Melayu ni selalu berangan seperti Mat Jenin tu, akhirnya habuk pun tak ada. Sekarang pula, kita lihat cita-cita atau angan-angan pula projek-projek mega ini. Mereka ini seperti mendodoi kita pula supaya kita terbuai-buai dalam cita-cita atau angan-angan mereka, yang akhirnya jika orang Melayu gagal mengambil peluang ini, kita juga yang dipersalahkan kerana selalu memerlukan tongkat.
Sebenarnya bukan tongkat yang kita perlukan tapi hanya hak yang sama seperti puak-puak mereka dapat, seperti peluang dan keistimewaan yang mereka berikan kepada bukan bumiputera(pasal nak tarik undi bukan bumiputera, undi orang Melayu tak perlu jaga, Melayu tiada pilihan). Akhirnya bila difikirkan kembali, yang menjatuhkan orang Melayu itu bukannya bukan bumiputera tetapi orang Melayu yang sebenarnya menjatuhkan bangsanya sendiri. Dan bila orang Melayu gagal dan jatuh, dia dipersalahkan lagi oleh bangsanya sendiri sehingga tersungkur berpusing macam gasing da(Pendekar Bujang Lapok).
Ceritanya dari pengalaman, cerita ini kecil dan berlaku hanya di peringkat bawah tanpa disedari oleh peringkat atas tetapi membawa seribu pengertian. Pada malam hari raya aidilfitri yang lalu, seorang rakyat marhaen yang bekerja tanpa perlu pakai tali leher dan kot yang panas di sebuah gudang yang dikawal dengan ketat. Dia hendak membawa keluar satu peralatan elektronik yang sudah usang dengan menaiki motorsikal tetapi memerlukan surat kebenaran. Dia tidak membuat surat itu lalu telah ditahan di pondok pengawalan oleh 3 orang yang berkuasa. Orang-orang yang berkuasa itu(baru dapat kuasa tu, kalau dah dapat kuasa PM ke, kuasa menantu PM ke, kuasa luar biasa ke, makin menjadi la jawabnya) pun membawa pekerja bawahan ini ke markas mereka yang sebenarnya iaitu sebuah van bergerak untuk menjalankan soal siasat ketika orang Islam lain sibuk bertakbir raya. Pekerja ini juga membawa satu beg yang berisi duit yang berjumlah RM1 ribu iaitu wang syarikat yang bukan dicuri. Orang-orang berkuasa ini cuba merampas beg ini tetapi dihalang dan mereka cuba pula meminta dengan baik sejumlah wang untuk menyelesaikan perkara ini. Pekerja ini tidak mahu memberi belanja untuk minum kopi tersebut kerana amanahnya dan terus dihantar ke balai polis yang jauh sedangkan balai polis yang dekat wujud. Orang-orang berkuasa ini terus menjalankan tanggungjawab mereka ini dengan penuh dedikasi setelah gagal untuk mendapatkan duit belanja kopi mereka ketika orang Islam lain sedang sibuk untuk bertakbir. Pekerja ini tidak dapat bersolat sunat aidilfitri kerana dipenjarakan sehari suntuk. Mungkin puas orang-orang Melayu berkuasa itu menjalankan tanggungjawab mereka. Pekerja itu pula sehingga sekarang tidak dapat bekerja kerana pas kerjanya telah dicuri oleh orang berkuasa tersebut kerana mereka tidak ada kuasa untuk merampasnya. Bukan mudah untuk membuat pas yang baru kerana prosedur dan tempoh masa yang diambil. Ini hanyalah bingkisan dari bawah.
Jika cerita yang atas sedikit, pengalaman untuk membuat pinjaman membeli kedai. Orang Melayu kalau pinjaman untuk membeli rumah dan kenderaan boleh lah lulus dengan mudah. Pinjaman untuk berniaga dengan membeli kedai jawabnya kena dah mula berniaga atau sudah mempunyai kereta mewah hutang berharga ratus ribu mungkin mudah sedikit. Dari mulut seorang pemproses pinjaman untuk membeli kedai yang bekerja di MBSB iaitu sebuah bank yang syernya dibeli dengan duit kita semua di KWSP atau boleh dikatakan bank bumiputera(kata GLC ramainya bumiputera). Kata pekerja itu, saya hairan bang, kalau bukan bumiputera bagi salinan kad pengenalan, kedudukan akaun bank, kedudukan cukai sudah cukup untuk lulus pinjaman walaupun kedudukan kewangan orang tersebut sama sahaja dengan abang. Bila orang Melayu nak mohon pinjaman untuk membeli kedai, macam-macam yang diperlukan sampai kena letak deposit dalam akaun bank ni. Buat pengetahuan, deposit yang diminta bukannya sedikit, tujuh keturunan makan tak habis(kata Hasan dalam filem Merah). Komuniti yang meluluskan kebanyakannya bukan bumiputera tetapi orang yang atas-atas kebanyakannya Melayu. Orang-orang yang duduk atas ni mana nak pandang bawah; pandang rendah ada lah. Kalau yang sudah gagal dapat pinjaman, pihak bank bukannya nak keluarkan surat pemberitahuan pinjaman gagal tetapi diminta lagi sediakan sekian-sekian maklumat sedangkan ianya telah diberi sebelum ini. Ada orang kata mereka tak mahu keluarkan surat pinjaman gagal tersebut kerana tidak mahu dipersalahkan apabila diperiksa oleh pihak berkuasa kerana tidak memberi pinjaman kepada bumiputera kerana peruntukan untuk bumiputera sudah disediakan. Melopong lah kita yang dibawah ini.
Dari mulut seorang peguam yang sudah selesai menyiasat kes yang ini pula menceritakan mengenai sebuah masjid di KL yang telah dihalang untuk bersolat jemaah Jumaat. Ia berlaku pada awal tahun ini di bawah pentadbiran kerajaan yang memerintah pada tahun 2007. Tanah masjid tersebut adalah tanah yang telah diwartakan sebagai wakaf oleh tuan tanah sejak sebelum merdeka lagi dan setelah kita merdeka tanah tersebut telah didaftarkan sebagai wakaf dan tanah wakaf adalah di bawah jagaan jabatan agama Islam negeri tersebut. Oleh itu, surau pun didirikan dan sehingga kini ia telah menjadi masjid untuk bersolat Jumaat di tengah-tengah KL. Tetapi pada suatu hari sedang warga KL bersedia untuk solat Jumaat di masjid tersebut tiba-tiba telah dihalang masuk dengan dinding yang menutup sekeliling masjid. Setelah disiasat, rupa-rupanya tanah wakaf tersebut telah dijual oleh jabatan agama negeri yang diamanahkan kepada pemaju bukan bumiputera untuk dibangunkan sebuah bangunan yang bernilai di dunia ini. Kalau jabatan agama sendiri dah tak boleh diharap menjaga bangunan agama sendiri, macam mana mereka ini nak tegakkan agama Islam itu sendiri.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pembelian satu alat pertukangan yang berharga RM40 lebih tetapi dibeli dengan duit kita semua dengan harga RM240 lebih. Ini baru kes terpencil sahaja. Bagaimana pula dengan pembelian kapal selam, kapal terbang, bina bangunan dan lain-lain lagi yang berjumlah berbilion-bilion RM? Ini semua dibeli oleh duit kita yang bekerja sebagai petani, PTD, juruaudit, pekerja bank RHB, Public Bank, orang-orang FELDA, pekerja MAHB dan ramai lagi lah, tak dapek den nak nolong sebut.
SME Bank diwujudkan untuk memberi pinjaman kepada industri kecil dan sederhana dan buat pengetahuan SME bank ini menyediakan pinjaman minimum RM60 ribu dan maksimum RM50 juta. Kalau industri kecil dan sederhana sekarang bersaiz RM50 juta, industri besar dan mega pula bernilai berapa? Aku rasa makcik-makcik yang membuat dan menjual kerepek di kampung aku di Kuala Selangor tu kadang-kadang mereka ini memerlukan wang sebanyak RM10-30 ribu sahaja untuk membesarkan perniagaan mereka. Makcik-makcik ini pula kategori industri saiz apa pula? Kepada siapa pula mereka hendak tuju? Kepada MARA, Prosper, Bank Pembangunan, MPEB? Hehehehhehe…..Jawabnya pinjam ceti atau ah long Bukit Beruntung lagi cepat tapi….
Dari mulut seorang ustaz yang ceramahnya tidak berbaur politik suatu masa dahulu. Di masjid Pekeliling KL dia telah pergi berceramah di bulan puasa dan selepas tamat ceramah diadakan moreh. Setelah habis moreh tiba-tiba kelihatan seorang kanak-kanak yang setia dari awal solat pergi ke arah makanan yang tidak habis mengumpul kuih-muih lebihan dan membungkusnya untuk dibawa pulang ke rumah. Ustaz tu pun merapati dia dan dia menjawab kuih tersebut untuk keluaraga di rumah. Si ustaz pun ikut dia pulang ke rumah di flat tersebut. Si ayah pun memberitahu bukan dia tidak berusaha untuk mendapatkan wang tetapi gajinya hanya RM650 sebulan dan tidak cukup untuk belanja satu keluarganya. Mana pergi wang zakat selama ini? Bila lihat organisasi pihak yang bertanggungjawab kenderaan sudah dengan Pajero baru dan pada hari raya ini ada juga dibuat sampul wang hari raya. Takkan duit zakat buat beli benda-benda tu? Di kampungku, seorang wakil organisasi zakat sedang mengagihkan barangan sumbangan untuk hari raya baru-baru ini. Ditanya oleh seorang lelaki veteran yang berumur 81 tahun kepada wakil tersebut kenapa seorang penduduk kampung kita yang buta di hujung kampung tidak dapat sumbangan zakat ini? Jawab wakil, “Kita bagi pada orang-orang yang selalu datang masjid ini sahaja. Dia tu bukannya pergi masjid pun.” Veteran ini pun memberitahu aku, macam mana orang ini yang susah lagi uzur nak pergi masjid dengan diri sendiri pasal dia buta. Aduhhhhh…letih….. Akhirnya, kebanyakan sumbangan tidak sampai kepada rakyat marhaen yang sepatutnya dapat kerana perbezaan fahaman dan sebagainya. Itu belum masuk bab orang yang mampu dapat biasiswa belajar.
Pada hari raya aidilfitri ini aku tidak mendapat kad hari raya daripada sesiapa pun sehingga raya ketiga tidak seperti raya-raya sebelum ini. Tiba-tiba satu kad hari raya yang tertera nama penuh aku dan alamat sampai kepada ku dan rupa-rupanya kad hari raya tersebut datang daripada satu parti politik. Aku sungguh terharu kerana pada hari raya yang aku tidak dapat kad tiba-tiba dia pula hantar. Selepas itu baru aku dapat kad dari seorang kawan aku yang berada di Putrajaya. Jumlah kad pada hari raya kali ini hanya 2, jadilah.
Banyak lagi yang orang lain cakap la kan, bukan saya cakap la yang aku dengar. Luahan orang-orang yang aku jumpa semasa berjalan-jalan cari kawan. Sebelum tamat, aku nak cakap; orang Melayu sendiri yang akan menjatuhkan orang Melayu sendiri, bukannya bukan bumiputera kerana mereka sibuk membantu bangsa mereka sendiri. Kita sambung lagi nanti.
(2:20 petang, Selasa, 6 November 2007. Aku nak tulis luahan orang-orang yang aku jumpa.)